Jangan Lupa Berjuang Korbankan Masa Demi ISLAM TERCINTA "PAS UNTUK SEMUA, PAS MENJANA UMMAH TERBAIK"

Monday, April 25, 2011

Iman dan Perjuangan


Penulis tertarik dengan satu soalan daripada Muslimat kepada Tuan Guru Dato' Seri Presiden tentang bagaimana para amilin hendak menjawab jika ditanya PAS tidak mementingkan peningkatan rohani dalam pergerakan. Hilangnya pendekatan rohani ini menyebabkan ramai daripada remaja yang cintakan Islam mula tidak berminat dengan PAS dan menyertai usrah-usrah anjuran "lain".


Tuan Guru Dato' Seri Presiden menjawab dengan mudah " sebenarnya kadang-kadang, kita hanya berzikir dengan sesuatu zikir tanpa mengenal pengasas kepada susunan zikir atau tarikat tersebut. Hampir kesemua pengasas tarikat seperti Sheikh Abu Hasan As-Syazilie, Sheikh Daud Al-Fatani dan ramai lagi yang dikenali sebagai guru tarikat terlibat dalam perjuangan Islam".



Penulis merasakan bahawa inilah antara fahaman yang perlu diterapkan kepada semua petugas dalam mendepani cakap-cakap bahawa PAS tidak mementingkan rohani.



Seorang sahabat pernah menceritakan kepada penulis bahawa satu ketika di salah sebuah masjid di Yaman, terdapat seorang pemuda bangun untuk memberi tazkirah tentang hebat dan besarnya pahala berjihad di Afghanistan. kebetulan beliau merupakan bekas mujahidin yang terlibat dalam menjatuhkan Soviet Union ketika itu.



Tiba-tiba bangun ahli jemaah masjid yang lain membangkang saranan tersebut dengan menyatakan bahawa sebelum kita bercakap soal jihad, Iman dan rohani perlu dipertingkatkan barulah boleh bercakap soal jihad.



Bangkangan di balas bangkangan, pemuda yang bertazkirah tentang jihad itu menempelak balik dengan menyatakan bahawa jihad merupakan antara penyebab kepada bertambahnya Iman kepada Allah SWT.



Iman dan Amal sesuatu perkara yang perlu diselarikan. kedua-dua ini perlu bergabung dan bergantung antara satu sama lain untuk menghasilkan Istiqamah dalam perjuangan.



Allah SWT pernah menceritakan tentang suasana tentera Muslimin ketika datangnya bala tentera Ahzab yang mengepung Bandar Madinah dengan firmannya yang bermaksud :



dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera azhab , berkatalah mereka (orang beriman) : "Inilah yang telah dijanjikan Allah dan rasul kepada Kami, dan benarlah Allah dan RasulNya". Dan (angkatan musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi kesan kepada mereka selain daripada menambahkan Iman dan penyerahan bulat-bulat kepada Allah.(al-Ahzab : 22)



Hal yang sama juga tentang pendirian para Sahabat RA apabila timbul khabar angin tentang kemunculan semula tentera Musyrik untuk menyerang para sahabat selepas mengalami kekalahan dalam peperangan Uhud. Lalu para sahabat ini berkata sebagaimana di rakamkan dalam Al-Quran yang bermaksud :



Mereka juga apabila diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka : "bahawa kaum (kafir Quraisy) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu. oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya ". Maka berita itumenambahkan iman mereka lalu berkata :"cukuplah Allah untuk (menolong) kamidan Ia sebaik-sebaik Pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami) (Ali Imran : 173)



Kenyataan ini membuktikan bahawa Iman akan bertambah dengan perjuangan. di samping itu tidak dinafikan bahawa zikir merupakan antara pengulangan yang perlu dilakukan.



Tetapi perlu difahami bahawa zikir bukan semata-semata bacaan tertentu, dalam bilangan tertentu, dengan tujuan tertentu semata-mata.



Zikir ialah satu bacaan yang penting dan perlu dilihat setiap maknanya supaya menambahkan keyakinan terhadap sesuatu perkara.



Sebagai contoh pembacaan Ayat kursi selepas solat yang menjadi wirid umat Islam. Kalau dilihat kepada makna ayat ini mengambarkan bahawa Umat Islam mesti yakin dan percaya kepada pemantauan Allah dan kekuasaaNya. Jadi ayat tersebut di baca dan diulang untuk menjadikannya satu keyakinan kepada umat Islam supaya berjaga-jaga dalam melakukan apa jua tindakan.



Iman adalah perkara dalaman. Pamerkanlah dalam bentuk tindakan. Antara tindakan hasil daripada Iman ialah kemantapan dan istiqamah dalam melaksanakan gerak kerja Islam.



www.attakiri.blogspot.com



"BERJUANG UNTUK MENDAULAT KAN ISLAM DAN NEGARA YANG ADIL SERTA NEGARA YANG BERSIH DAN BEBAS RASUAH"

No comments:

Post a Comment

"Sila Tinggal kan Komen yg Membina dan Kritikan yg Boleh Mendatang Menafaat Kepada Kita Semua"